Thursday, April 16, 2009

Perpektif IKIM: Salah Guna Ilmu Boleh Timbulkan Kemudaratan

Oleh Dr Mohd Sani Badron

BADAN yang sempurna menuntut jasmani yang sihat, kuat, cergas dan berdaya-tenaga. Kesempurnaan jiwa pula terletak pada akal yang bermaklumat, berpengetahuan dan berkefahaman, lagi berkebijaksanaan.
 

Sesungguhnya 'maklumat', 'pengetahuan', 'kefahaman' dan 'kebijaksanaan' masing-masing memiliki nilai yang amat berbeza. Dihalusi dalam neraca ilmiah, kebijaksanaan mempunyai nilai paling tinggi dalam ukuran keilmuan dan matlamat pendidikan sepanjang hayat. Mortimer Adler menghuraikan pada kebiasaannya maklumat boleh diperoleh sedikit demi sedikit secara yang terpisah di antara satu maklumat dengan maklumat yang lain. Jika maklumat sebagai bahan mentah ilmu ini tidak dimatang dan dicernakan oleh akal dan budi, ia akan tinggal sebagai ‘data’ yang tidak memancarkan sebarang makna yang lebih mendalam bagi pemilik maklumat.

Maklumat boleh digunakan sama ada untuk yang baik atau buruk. Pengetahuan pula lebih bernilai daripada maklumat semata-mata. Ini kerana pada peringkat ini himpunan maklumat yang berkenaan diuruskan secara teratur. Susunan maklumat dalam sorotan akal manusia seperti ini dinamakan pengetahuan. 

Ilmu pengetahuan pasti diresapi dengan pandangan hidup seseorang. Oleh kerana akal budi manusia meninjau dan menyorot ilmu pengetahuan dalam bingkai pandangan alam kebudayaan dan tamadunnya masing-masing, apa yang dianggap pengetahuan oleh sesuatu tamadun mungkin dinafikan kebenaran ilmiahnya oleh tamadun yang berlainan. 

Contohnya, pengetahuan mengenai diri manusia pasti berbeza dalam tamadun yang menganggap insan hanya semata-mata sebagai benda berbanding tamadun lain yang mentafsirkan insan sebagai makhluk yang memiliki roh luhur ciptaan Allah (surah al-Hijr, ayat 29). 

Justeru, dalam huraian inilah wujud pertembungan ilmiah dengan pandangan alam Barat. Pengetahuan juga mungkin digunakan oleh manusia untuk kebaikan atau keburukan. Salah guna ilmu paling buruk boleh berlaku apabila kebenaran asal diubah dan maklumat yang palsu direka dengan niat jahat untuk menggantikan apa yang betul dalam ilmu yang sebenar. Maklumat yang hak pula dilupakan atau sengaja disembunyikan serta diputarbelitkan. Lalu, bercampuraduk apa yang hak dengan batil dan tercemarlah kejernihan kebenaran dengan keruh kepalsuan. 

Lanjutan itu timbul keadaan serba kelam yang mengelirukan masyarakat awam yang jahil. Perbezaan di antara pengetahuan dan kefahaman pula adalah berkenaan kedalaman makna yang dibawa oleh sesuatu ilmu. Semua cabang ilmu mempunyai pengaruh dan kesannya tersendiri dalam hidup manusia. Setiap cabang ilmu dalam akal insan yang serba kompleks itu menjurus kepada akibat penting dalam kehidupan.

Justeru, yang digelar kefahaman itu adalah memahami makna, nilai, kepentingan, kesan dan pengaruh sesuatu pengetahuan dan ilmu itu dalam kehidupan, kemanusiaan seluruhnya dan alam sekitar. Seperti yang terakam dalam kamus agung Lisan al-'Arab karya Ibn Manzur (m.711H), kefahaman (al-fahm) itu adalah “kearifan mengenai sesuatu urusan dan perkara menerusi mata-hati”. 

Semakin sempurna makrifah seseorang individu, maka semakin bererti dan bermaknalah hidupnya. Untuk dianugerahkan dengan kefahaman, seseorang memerlukan sedikit sebanyak maklumat atau pengetahuan. Tetapi, sekadar bermaklumat atau berpengetahuan tidak semestinya benar berkefahaman mengenai makna arah dan tujuan hidup yang hakiki.

Kebijaksanaan pula adalah ilmu dalam pengertiannya tertinggi. Ia mensyaratkan maklumat, pengetahuan dan kefahaman yang diletakkan dalam neraca pertimbangan nilai yang adil. Akal manusia yang bijaksana mampu memandang persoalan pokok dalam kehidupan insaniah. 

Seseorang yang dikurniakan 'hikmah' mencapai pengertian dasar yang paling penting mengenai kaitan di antara persoalan kehidupan manusia di alam semesta dengan isu ketuhanan.

Penulis ialah Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia


Agama
Berita Harian
30 Mei 2006

No comments:

Post a Comment