Thursday, April 16, 2009

Perpektif IKIM: Salah Guna Ilmu Boleh Timbulkan Kemudaratan

Oleh Dr Mohd Sani Badron

BADAN yang sempurna menuntut jasmani yang sihat, kuat, cergas dan berdaya-tenaga. Kesempurnaan jiwa pula terletak pada akal yang bermaklumat, berpengetahuan dan berkefahaman, lagi berkebijaksanaan.
 

Sesungguhnya 'maklumat', 'pengetahuan', 'kefahaman' dan 'kebijaksanaan' masing-masing memiliki nilai yang amat berbeza. Dihalusi dalam neraca ilmiah, kebijaksanaan mempunyai nilai paling tinggi dalam ukuran keilmuan dan matlamat pendidikan sepanjang hayat. Mortimer Adler menghuraikan pada kebiasaannya maklumat boleh diperoleh sedikit demi sedikit secara yang terpisah di antara satu maklumat dengan maklumat yang lain. Jika maklumat sebagai bahan mentah ilmu ini tidak dimatang dan dicernakan oleh akal dan budi, ia akan tinggal sebagai ‘data’ yang tidak memancarkan sebarang makna yang lebih mendalam bagi pemilik maklumat.

Maklumat boleh digunakan sama ada untuk yang baik atau buruk. Pengetahuan pula lebih bernilai daripada maklumat semata-mata. Ini kerana pada peringkat ini himpunan maklumat yang berkenaan diuruskan secara teratur. Susunan maklumat dalam sorotan akal manusia seperti ini dinamakan pengetahuan. 

Ilmu pengetahuan pasti diresapi dengan pandangan hidup seseorang. Oleh kerana akal budi manusia meninjau dan menyorot ilmu pengetahuan dalam bingkai pandangan alam kebudayaan dan tamadunnya masing-masing, apa yang dianggap pengetahuan oleh sesuatu tamadun mungkin dinafikan kebenaran ilmiahnya oleh tamadun yang berlainan. 

Contohnya, pengetahuan mengenai diri manusia pasti berbeza dalam tamadun yang menganggap insan hanya semata-mata sebagai benda berbanding tamadun lain yang mentafsirkan insan sebagai makhluk yang memiliki roh luhur ciptaan Allah (surah al-Hijr, ayat 29). 

Justeru, dalam huraian inilah wujud pertembungan ilmiah dengan pandangan alam Barat. Pengetahuan juga mungkin digunakan oleh manusia untuk kebaikan atau keburukan. Salah guna ilmu paling buruk boleh berlaku apabila kebenaran asal diubah dan maklumat yang palsu direka dengan niat jahat untuk menggantikan apa yang betul dalam ilmu yang sebenar. Maklumat yang hak pula dilupakan atau sengaja disembunyikan serta diputarbelitkan. Lalu, bercampuraduk apa yang hak dengan batil dan tercemarlah kejernihan kebenaran dengan keruh kepalsuan. 

Lanjutan itu timbul keadaan serba kelam yang mengelirukan masyarakat awam yang jahil. Perbezaan di antara pengetahuan dan kefahaman pula adalah berkenaan kedalaman makna yang dibawa oleh sesuatu ilmu. Semua cabang ilmu mempunyai pengaruh dan kesannya tersendiri dalam hidup manusia. Setiap cabang ilmu dalam akal insan yang serba kompleks itu menjurus kepada akibat penting dalam kehidupan.

Justeru, yang digelar kefahaman itu adalah memahami makna, nilai, kepentingan, kesan dan pengaruh sesuatu pengetahuan dan ilmu itu dalam kehidupan, kemanusiaan seluruhnya dan alam sekitar. Seperti yang terakam dalam kamus agung Lisan al-'Arab karya Ibn Manzur (m.711H), kefahaman (al-fahm) itu adalah “kearifan mengenai sesuatu urusan dan perkara menerusi mata-hati”. 

Semakin sempurna makrifah seseorang individu, maka semakin bererti dan bermaknalah hidupnya. Untuk dianugerahkan dengan kefahaman, seseorang memerlukan sedikit sebanyak maklumat atau pengetahuan. Tetapi, sekadar bermaklumat atau berpengetahuan tidak semestinya benar berkefahaman mengenai makna arah dan tujuan hidup yang hakiki.

Kebijaksanaan pula adalah ilmu dalam pengertiannya tertinggi. Ia mensyaratkan maklumat, pengetahuan dan kefahaman yang diletakkan dalam neraca pertimbangan nilai yang adil. Akal manusia yang bijaksana mampu memandang persoalan pokok dalam kehidupan insaniah. 

Seseorang yang dikurniakan 'hikmah' mencapai pengertian dasar yang paling penting mengenai kaitan di antara persoalan kehidupan manusia di alam semesta dengan isu ketuhanan.

Penulis ialah Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia


Agama
Berita Harian
30 Mei 2006

Memahami Pengaruh Konsep Diri Keatas Jiwa


28 December 2004

Dalam bidang psikologi terdapat suatu teori yang boleh menolong kita memahami siapa diri kita. Teori itu disebut Jendela Johari. Nama Johari adalah gabungan nama dua orang pakar yang mencipta teori itu, Joseph Luft dan Harry Ingham.  
Jendela Johari: Siapakah Aku?

Dalam bidang psikologi terdapat suatu teori yang boleh menolong kita memahami siapa diri kita. Teori itu disebut Jendela Johari. Nama Johari adalah gabungan nama dua orang pakar yang mencipta teori itu, Joseph Luft dan Harry Ingham. Menurut mereka diri manusia itu terdiri daripada empat bentuk ‘diri’ di mana tiap diri itu berbeza daripada yang lain-lain. Walaupun berbeza, tiap-tiap diri itu saling pengaruh mempengaruhi satu sama lain.

Jendela Diri Yang Terbuka
Jendela ini melambangkan semua maklumat, sikap, perasaan, keinginan, dorongan dan idea-idea kita yang kita sendiri ketahui dan diketahui juga oleh orang-orang lain. Antara maklumat itu adalah nama kita, rupa paras kita, agama kita, bangsa, pendidikan, kegemaran, agama dan pendirian politik kita.

Ada kalanya jendela ini kita buka luas oleh itu kita dengan sukarela mendedahkan banyak maklumat tentang siapa diri kita.

Ada kalanya kita tidak mahu membuka jendela ini dengan luas, jadi kita banyak merahsiakan maklumat peribadi kita. Sejauh mana kita sanggup membuka jendela ini ada kesannya pada sejauh mana orang-orang lain sanggup menerima kita. Semakin banyak kita men-dedahkan maklumat diri kita, semakin mudah bagi orang lain menerima kehadiran diri kita.

Jendela Diri Yang Buta
Jendela ini melambangkan segala macam maklumat tentang diri kita yang diketahui oleh orang-orang lain tetapi kita sendiri tidak tahu. Antara maklumat diri kita yang kita tidak ketahui adalah perangai-perangai ganjil kita, bau badan kita yang busuk, sifat kita yang gagap apabila gugup dan lain-lain.

Orang lain mungkin tahu tabiat dan sifat kita yang baik ataupun buruk yang kita tidak sedari ada pada kita. Sesetengah orang sangat ‘buta’ tentang dirinya sendiri. Ada kalanya kita takut hendak mendengar pendapat orang lain berkenaan diri kita, kecuali yang baik-baik sahaja. Sesetengah orang sangat ingin tahu siapa diri mereka yang sebenar dan sentiasa mencari maklum balas daripada orang-orang di sekeliling mereka.

Ada kalanya kita dapat menerima kenyataan apabila menerima kritikan peribadi daripada orang-orang lain. Ada orang tidak dapat menerima kritikan seperti itu dan mereka mengalami kejutan dahsyat. Oleh itu, walaupun kita tahu banyak berkenaan orang-orang lain, kita tidak boleh mendedahkan kepada mereka segala apa yang kita tahu. Mereka mungkin akan mengalami kesan negatif daripada apa yang kita beritahu.

Jendela Diri Yang Tersembunyi
Jendela ini adalah lambang segala maklumat tentang diri kita yang kita sendiri tahu tapi kita tidak ingin orang lain tahu. Ia adalah diri kita yang kita rahsiakan. Ada orang yang suka memberitahu segala macam maklumat berkenaan diri mereka kepada orang lain. Ada orang, kalau boleh, langsung tidak mahu sesiapa pun tahu apa-apa berkenaan diri mereka. Mereka akan bercakap-cakap dan berbual-bual berkenaan bermacam-macam perkara di dunia ini, kecuali berkenaan diri mereka sendiri.

Ada orang yang tidak segan silu menceritakan segala hal berkenaan diri mereka termasuk masalah rumah tangga, anak-anak, pekerjaan, wang dan apa-apa saja. Lazimnya kita memilih-milih maklumat peribadi yang sanggup kita dedahkan kepada orang-orang lain, dan kita juga memilih-milih kepada siapa maklumat-maklumat itu sanggup kita dedahkan.

Jendela Diri Yang Tak Diketahui
Jendela ini adalah lambang siapa sebenarnya diri kita, tetapi kita tidak tahu dan orang-orang lain pun tidak tahu. Kalau kita tidak tahu dan orang-orang lain pun tidak tahu, bagaimanakah kita tahu bahawa diri kita itu wujud? Kita tahu ia wujud daripada beberapa sumber. Pertama, dari saat apabila kita akan menyedari beberapa perkara baru tentang diri kita yang tidak pernah kita katakan sebelumnya.

Sumber kedua adalah mimpi-mimpi yang kita alami. Sumber ketiga adalah melalui ujian-ujian projektif yang boleh kita ambil di bawah pengawasan pakar-pakar psikologi. Ada kalanya kesan dadah, hipnosis, ‘menurun,’ ‘dirasuk’ dan ‘histeria’ juga boleh menggambarkan wujudnya diri kita yang tersembunyi.

Anggapan kita terhadap diri kita sendiri sentiasa berubah-ubah daripada masa ke masa. Ada kalanya perubahan itu berlaku perlahan-lahan, ada kalanya ia berlaku dengan mendadak dan drastik sekali.


Cara Mengenali Diri Sendiri

Mengetahui siapa diri kita sebenarnya mempunyai kesan ke atas kejayaan di tempat kerja dan dalam kehidupan. Individu-individu yang memahami sifat-sifat, kekuatan dan kelemahan dirinya didapati lebih berjaya dalam kerjaya dan kehidupan mereka. Semakin betul kefahaman seseorang itu tentang dirinya, semakin tinggi kejayaan yang dapat dicapainya. Ini adalah salah satu daripada ciri-ciri psikologi yang membezakan para eksekutif yang berjaya naik menjadi para pengurus kanan daripada mereka yang tidak berjaya menjadi pengurus kanan.

Individu-individu yang gagal dalam kehidupannya mempunyai konsep diri yang negatif ataupun di mana konsep dirinya tidak selaras dengan realiti disebabkan mereka tidak bersikap terbuka kepada maklum balas daripada orang-orang yang berinteraksi dengan mereka, terutamanya apabila maklum balas itu dalam bentuk kritikan. Itulah sebabnya mereka yang tidak dapat menerima kritikan dan teguran tidak dapat mencapai peringkat tinggi dalam jawatannya.

Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan supaya kita lebih kenal diri kita sendiri. Cara yang pertama adalah dengan mendengar apa yang orang-orang lain kata berkenaan diri kita. Dengan cara ini kita dapat melihat diri kita daripada sudut pandangan orang lain.

Kita dapat melihat diri kita sebagaimana yang orang lain melihatnya, iaitu sebagaimana yang mereka nampak dan kenali diri kita. Biasanya kita mahu orang lain melihat diri kita seperti yang kita sendiri mahu lihat, iaitu yang positif sahaja.

Apa sahaja yang kita buat dan katakan sentiasa dinilai oleh orang lain. Ada kalanya mereka menyatakan pendapat mereka berkenaan diri kita. Kadang-kadang mereka mengatakan dengan jelas dan berterus terang, tetapi ada kalanya mereka menyatakannya dengan cara yang halus dan tersirat. Dengan memberi perhatian dan bersikap terbuka terhadap segala pendapat orang lain berkenaan diri dan segala perbuatan kita, kita dapat mengenal diri kita sendiri dengan lebih baik lagi.

Cara kedua adalah dengan sengaja mencari maklumat-maklumat tambahan berkenaan diri sendiri. Kita boleh meminta pendapat orang-orang di sekeliling kita berkenaan apa yang kita buat.
Kita boleh bertanya “Patutkah saya buat begitu?” ataupun “Apa pendapat awak tentang cara saya menyelesaikan masalah itu?” ataupun “Adakah saya layak melakukan tugas ini?”
Apabila orang memberi maklum balas kepada soalan-soalan seperti itu, kita jangan bersikap defensif. Dengar sahaja dan ambil perhatian. Apabila kita bersikap defensif, lain kali orang tidak mahu memberi maklum balas lagi.
Cara ketiga adalah dengan berlatih melihat diri sendiri sebagaimana yang orang lain nampak. Setiap ahli keluarga dan sahabat kita melihat diri kita secara berbeza-beza. Mereka semuanya betul. Diri kita adalah semua yang mereka nampak.
Cuba gambarkan bagaimana ibu bapa, adik beradik kita, rakan sejawat kita, pasangan kita, malah bagaimana musuh kita melihat diri kita. Kita akan dapat memahami diri kita dengan lebih jelas.

Cara keempat adalah dengan cara mendedahkan lebih banyak maklumat tentang diri kita yang selama ini kita rahsiakan. Cuba terangkan siapa diri kita sendiri dari sudut pandangan kita sendiri. Dengan berbuat begitu kita mungkin akan tercungkil maklumat-maklumat yang selama ini kita pendamkan, atau yang selama ini tidak kita sedari.

Kita dapat mengetahui siapa diri kita daripada pelbagai sumber. Ada kalanya, kita menyedari siapa diri kita secara spontan. Dalam saat spontan seperti itu tiba-tiba kita tahu sesuatu yang betul tentang diri kita. Tetapi kita tidak tahu dari mana datangnya pengetahuan itu. Namun lazimnya kita tahu dari mana punca itu.

Sejak kecil-kecil lagi kita sudah dilayan dengan cara-cara yang berbeza oleh ibu bapa kita, rakan-rakan dan guru-guru kita. Kita juga melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan fizikal dan sosial yang kemudian hari memberi pengaruh besar ke atas beberapa aspek diri kita.

Apabila sejak kecil kita sudah dibawa ke masjid, dihantar mengaji al-Quran, diberi memakai kopiah, diajar bersembahyang jemaah di rumah, diajar berpuasa, digalakkan menghafal Quran dan lain-lain seperti itu, apabila besar nanti kita yakin agama Islam adalah sebahagian daripada identiti yang penting. Sekiranya sejak kecil kita sudah dibawa menghadiri mesyuarat dan ceramah, apabila kita besar nanti kita akan melihat diri kita sebagai orang yang mementingkan hal ehwal kemasyarakatan.

Dipetik daripada: Bahagian 1, Kejayaan Dari Dalam

    
Sumber    :www.pts.com.my