Monday, April 20, 2009

Horizon: Pembaharuan Dunia Islam Agenda Baru Barat

Bersama Kahidir Majid


SAMA ada diakui atau tidak, masyarakat Barat kini menganggap Islam sebagai musuh ideologi mereka. Islam dikatakan tidak toleran, menyekat kebebasan dan menindas wanita. Semuanya dianggap sudah cukup sebagai alasan menganggap Islam sebagai ancaman kepada kelangsungan nilai masyarakat mereka.

Dalam keadaan di Barat sekarang, isu yang kecil sekalipun diangkat ke peringkat nasional dengan pihak tertentu (tidak semestinya yang terbabit) meraung meminta tolong, seolah-olah musuh sudah menunggu di sebalik pintu bersedia untuk menerkam mereka.

Contoh terbaru kes Misbah Rana atau Molly Cambell, gadis berusia 12 tahun yang kini menjadi rebutan ibu bapanya yang sudah bercerai. Bapa Misbah berbangsa Pakistan, manakala ibunya pula dari Scotland. Misbah dibawa balik bapanya ke Pakistan, sementara ibunya berusaha mendapatkan semula hak penjagaan kanak-kanak itu. 

Isu itu jelas adalah isu keluarga yang boleh diselesaikan menerusi proses mahkamah sama ada di Britain atau Pakistan. Namun, ia kini menjadi pula isu pertembungan nilai antara Islam dan Barat, semata-mata kerana bapa Misbah memberi alasan bahawa beliau mahu membawa anak gadisnya pulang ke Pakistan kerana ‘masyarakat Britain membenarkan dan mungkin juga menggalakkan kebebasan seks’ dan beliau tidak mahu anak gadisnya itu membesar dalam keadaan seperti itu.

Kenyataan itu dianggap sebagai satu penindasan terhadap wanita, iaitu menidakkan gadis kecil itu kebebasan memilih cara hidupnya sendiri. 

Berikutan itu, komentar dan surat pembaca menyusul dalam akhbar atau dalam perbincangan online di Britain dengan rata-rata ‘pejuang nilai Barat’ mengecam pelbagai bentuk ‘penindasan’ yang mereka lihat dibawa oleh Islam. 

Hujah yang dibawa tidak kurang banyaknya juga membuat kesimpulan nilai yang dibawa Islam tidak sesuai dengan nilai yang dipegang Barat. Tidak cukup pada peringkat rakyat biasa, pemimpin di Barat pula ada melihat Islam tidak serasi dengan demokrasi.

Berikutan itu, pejuang demokrasi seperti Amerika Syarikat mahu mengeksport prinsip demokrasi dan nilai hak asasi manusianya ke negara Islam. Seolah-olah masyarakat Barat sekali lagi terpaksa melancarkan ‘renaissance’ agar masyarakat dunia tidak lagi kembali semula ke ‘Dark Ages’.

Apakah benar perlu ada ‘renaissance’ (pembaharuan) terhadap Islam? Bukankah Islam itu sendiri adalah ‘renaissance’, iaitu agama diturunkan untuk mengambil tempat zaman jahiliah.

Bagi menjawab soalan ini, mungkin satu hasil kajian seorang profesor terhadap asal usul prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Amerika Syarikat boleh dijadikan renungan. Menurut kajian itu (www.law.upenn.edu/conlaw/issues/vol1/num3/alhibri/node8_tf.html), Ada banyak persamaan antara prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Amerika Syarikat dengan Perlembagaan Madinah. 

Malah, banyak hak asasi dijamin dalam Perlembagaan Amerika sekarang, terkandung dalam Perlembagaan Madinah yang digubal kira-kira 1,000 tahun sebelumnya. Apakah mungkin penggubal Perlembagaan Amerika menceduk prinsip daripada Perlembagaan Madinah?.

Kajian berkenaan tidak menemui bukti sedemikian, namun yang dapat dipastikan pengasas AS yang bergelut dengan konsep ‘federlisme’ yang begitu asing ketika itu, terdedah kepada Perlembagaan Madinah sebagai rujukan. 

Pengkritik Islam pada masa ini begitu cepat menolak agama suci itu sebagai tidak serasi dengan nilai demokrasi. Namun, penilaian mereka terhadap Islam hanya berdasarkan apa yang mereka lihat di dunia Islam hari ini, iaitu dunia yang banyak dipengaruhi oleh tamadun Barat sendiri.

Jika benar-benar jujur, mereka akan teliti tamadun Islam sebenarnya dan akan akui siapa yang lebih dulu melindungi hak asasi, mahupun hak wanita.



Rencana
Berita Harian
Jumaat, 06 Oktober 2006