Sunday, April 19, 2009

Cool Menghadapi Hari Ini

01 March 2006 

Lalui hidup macam biasa. Usaha dan terus usaha. Jangan lupa tentang ketenangan dan kesabaran. Hidup kita ni kena melangkah setapak demi setapak.


Tenangkan hati kita dengan membahagikan saat-saat yang terkandung pada hari ini. Jadikan setiap jam itu umpama setahun. Bekerjalah dengan tabah. Bertaubatlah daripada dosa. Ingat kepada Tuhan. Tambahkan amalan. 

Hiduplah pada hari ini dengan kegembiraan dan ketenangan kerana kebahagiaan itu berada dalam diri sendiri. Bersyukurlah dengan apa yang diusahakan dengan bersungguh-sungguh supaya sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada.

Bandingkan manakah yang lebih baik bagi kita. Sama ada dengan memakan makanan hangat pada hari ini berbanding makanan semalam yang mula basi. Ataupun sia-sia menunggu makanan pada hari esok sedangkan ia masih belum tersedia dan tiada di hadapan mata.

Apabila kita percaya dan yakin kepada diri sendiri, lakukan yang terbaik untuk hari ini. Berpegang pada prinsip itu menghasilkan hari-hari yang seterusnya dengan lebih baik. Bekerja dengan bersungguh-sungguh setiap hari itu melatih dan mengajar kita supaya lebih mahir dengan kehidupan. 

Anggaplah kita hanya hidup pada hari ini sahaja, nescaya ia menjamin kehidupan akan datang. Malah, ia menjadi penenang jiwa yang selalu merisaukan masa depan yang belum kelihatan. 

Ada berpendapat orang yang berduka kerana memikir-kan perkara sekarang adalah orang yang rasa hidupnya melarat. Sering gagal. Tambahan pula dia hidup di kalangan orang-orang yang berjaya. Masanya dihabiskan dengan melayan kerenah cemburu dengan kejayaan orang lain dan berkecil hati dengan kegagalan diri. 

Orang sebegini perlu beringat bahawa hidup ini bukan hanya bernafas ataupun makan dan minum sahaja. Tetapi, kehidupan itu perlu dilalui dan dicari pengalaman supaya kita dapat memerhati rahsia serta gambaran teka-teki dunia. 

Para ahli Tasawuf selalu menziarahi tempat-tempat orang miskin yang melarat, rumah-rumah sakit, penjara dan sebagainya. Ia semata-mata bagi menimbulkan keinsafan bahawa kita tidak boleh berdukacita atas kesusahan dan tidak boleh terlalu bergembira dengan kemuliaan kerana dunia ini penuh rahsia.

Oleh itu, hari ini bukanlah hari untuk kita berkecil hati dengan kegagalan. Tetapi adalah hari untuk kita berusaha menentukan hari esok dan seterusnya. Bukankah hari-hari semalam itu sudah banyak mengajar kita dengan memandang pelbagai pengalaman baik dan buruk? 

Oleh itu, apa yang dilakukan pada hari ini perlu lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Kalau apa yang dilalui itu tidak diambil perhatian, sedarlah bahawa orang yang bersikap sedemikian itu tidak ubah seperti orang bebal kerana buta tuli dengan pengajaran serta pelajaran kehidupan di dunia.


Sumber : www.pts.com.my

No comments:

Post a Comment