Thursday, April 30, 2009

Motivasi Mutiara Dr Danial - Keutamaan Dalam Hidup

2006-07-12 


Assalamualaikum wbt. Tuan-tuan & puan-puan yang saya muliakan, 

Alhamdulillah pertandingan bolasepak Piala Dunia FIFA telah selesai. Semoga kesemua kita kembali seperti sediakala dan tidak lagi kita terabai dan alpa dengan perkara-perkara yang kurang penting. Pada pagi ini Dr Danial hendak mulakan dengan memohon maaf terlebih dahulu sebab saya hendak menceritakan tentang satu insiden yang berlaku yang melibatkan diri saya. Oleh sebab cerita ini mempunyai perkaitan dengan diri saya sendiri, saya perlu memohon maaf sebab takut disalah fahami oleh pihak anda. Tujuan saya menceritakannya kerana disebalik kisah ini ada satu iktibar yang hendak saya sebutkan akhirnya.

              Baru-baru ini selepas selesai saya menyampaikan satu ceramah di luar kawasan Pulau Pinang dan di hujungnya saya mengatakan dalam masa 2 bulan lagi insyaallah buku terbaru saya akan diterbitkan. Buku yang bertajuk Kecemerlangan Islam Dari Teropong Sains. Saya mengatakan bahawa di dalam buku itu saya memfokuskan tentang sains. Diantaranya ialah solat dan sains, Zikrullah dan sains. Kesemuanya yang berkaitan dengan islam, saya kaitkan dengan sains. Insyaallah 2 bulan lagi akan diterbitkan dan ia merupakan buku ke – 11 Dr Danial alhamdulillah.

               Selepas itu saya telah dikerumuni oleh satu kumpulan pensyarah dari universiti tertentu. Mereka bertanya kepada saya bagaimana saya boleh memberikan masa sehingga boleh menulis sebanyak 11 buah buku sedangkan saya juga sibuk dengan klinik, motivasi di radio, khutbah, ceramah-ceramah, syarikat, keluarga dan seumpamanya. Satu soalan yang berbentuk peribadi yang susah untuk saya menjawabnya sebab jika saya menjawab, seolah-olahnya saya hendak menceritakan tentang kehebatan diri sedangkan saya masih menyedari saya masih lagi lalai, alpa, cuai. Disudut ibadah masih banyak lagi kekurangan yang ada pada diri saya. Masakan saya bersedia untuk menceritakan tentang kehebatan saya. Itu tak mungkin bisik hati kecil saya. Saya tidak mahu menipu diri sendiri tetapi saya perlu menjawab sesuatu.

               Akhirnya saya bertanya kepada mereka. Sekarang musim bolasepak piala dunia FIFA. Adakah anda semua bangun pagi untuk menonton bolasepak. Kesemua pensyarah itu tersenyum simpul sambil mengakui ada menonton bolasepak. Dalam masa sebulan ini hampir setiap pagi kami akan bangun untuk menonton pertandingan bolasepak. Saya bertanya kepada mereka adakah mereka tidak merasa mengantuk. Mereka mengakui merasa mengantuk tetapi oleh sebab mempunyai matlamat dan tujuan untuk bangun menonton bolasepak maka hilanglah mengantuknya. Saya berkata kepada mereka, saya alhamdulillah kerana tidak sekalipun saya bangun pagi untuk menonton bola. 

               Mereka berkata mungkin Dr Danial tidak meminati bola. Tidak!! kata saya. Saya berbohong jika mengatakan kepada anda bahawa saya tidak meminati bola. Alhamdulllah ketika di sekolah Menengah Jelutung dahulu dari tingkatan 1 – 5 saya mewakili sekolah dan dalam masa itu kami telah menjadi johan seluruh Pulau Pinang sekali dan naib johan seluruh Pulau Pinang sekali.. Ketika belajar di luar negara iaitu Alexandria saya menjadi kapten bolasepak pelajar-pelajar Malaysia di sana. Jadi saya meminati bolasepak malah pernah menjadi kapten semasa berada di luar negara satu ketika dahulu. Saya amat meminati bolasepak tetapi tidak bangun pagi untuk menonton bolasepak. 

              Mengapa??. Saya merasakan itu membuangkan masa. Saya ada perkara yang lebih penting yang perlu dilakukan. Jika tuan-tuan sanggup berkorban seperti yang dilakukan untuk bangun pagi kerana bolasepak, tuan-tuan boleh menulis lebih banyak buku daripada saya. Boleh menghafaz quran, hadis-hadis, menguasai bahasa arab untuk memahami bacaan al-quran dan boleh melakukan banyak lagi perkara kebaikan jika tuan-tuan sanggup berkorban sebagaimana yang tuan-tuan lakukan untuk menonton bolasepak sebulan ini.

              Rumusannya ialah kita ini sibuk tetapi sibuk kepada perkara yang tidak penting. Sebab itu kita tidak banyak boleh mencapai kegemilangan dalam hidup walaupun kita sibuk kesana kemari. Bagi saya, tuan-tuan & puan-puan yang saya muliakan orang yang berjaya ialah orang yang menjadikan perkara utama itu utama dan perkara kedua itu kedua. Orang yang sentiasa tidak berjaya, cemerlang, gemilang dan terbilang ialah mereka yang menjadikan perkara kedua itu pertama atau dalam bahasa sekarang sekundar menjadi primar.

               Mari sama-sama kita kenali keutamaan dalam hidup kita. Tentukan keutamaan. Meminati bolasepak adalah perkara biasa terutama bagi kaum lelaki. Sekarang kaum hawa pun nampaknya sudah meminati bolasepak. Tetapi ingat, jangan sampai bolasepak menjadikan kita tersepak. Jangan sampai kita yang menjadi bola bukan bola yang menjadi bola. Kita yang terpelanting ke sana kemari disamping juga dengan bola. Jangan itu berlaku kepada kita. Akhirnya kita akan merungut tidak ada timelah. Tidak ada masalah untuk mengaji quran, tidak ada masa untuk menulis buku. Tidak ada masa untuk menghafaz sedikit sebanyak dari quran. Tidak masa untuk melakukan kebaikan itu dan ini. Tidak ada masa!! masa!! masa!! sedangkan persoalannya ialah bukan kita tidak ada masa cuma kita tidak pandai untuk mengurus masa. Masa ada. Kita menarik nafas sepenuh masa tetapi tidak pandai mengurus masa.

               Maka benarlah Allah swt berfirman dalam surah Al-Mukminun ayat 1-3 yang bermaksud “ Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, mereka itu ialah mereka yang khusyuk dalam solatnya dan tidak menghabiskan masa untuk melakukan perkara yang sia-sia”. Itulah contoh orang-orang yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Mereka menjaga solat bukannya bangun pagi untuk menonton bolasepak kemudian tidak bersolat subuh. Mereka menjaga solat dan khusyuk dalam solat. Kedua mereka tidak membuang masa kepada perkara yang tidak penting.

               Semoga insyaallah kita tidak membuang masa pada perkara yang tidak bermanafaat dan semoga Allah berikan kekuatan kepada kita bersama untuk melakukan yang terbaik bagi hidup kita. Insyaallah. Boleh saja meminati bola tetapi jangan anda dan saya menjadi bola. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita



Dari Dr Danial bin Zainal Abidin dalam ruangan Motivasi Mutiara pada 11 Julai 2006, hari Selasa jam 7.30 pagi di Mutiara FM pulau Pinang 95.7 mhz.


Sumber: www.jim.org.my

Monday, April 20, 2009

Horizon: Pembaharuan Dunia Islam Agenda Baru Barat

Bersama Kahidir Majid


SAMA ada diakui atau tidak, masyarakat Barat kini menganggap Islam sebagai musuh ideologi mereka. Islam dikatakan tidak toleran, menyekat kebebasan dan menindas wanita. Semuanya dianggap sudah cukup sebagai alasan menganggap Islam sebagai ancaman kepada kelangsungan nilai masyarakat mereka.

Dalam keadaan di Barat sekarang, isu yang kecil sekalipun diangkat ke peringkat nasional dengan pihak tertentu (tidak semestinya yang terbabit) meraung meminta tolong, seolah-olah musuh sudah menunggu di sebalik pintu bersedia untuk menerkam mereka.

Contoh terbaru kes Misbah Rana atau Molly Cambell, gadis berusia 12 tahun yang kini menjadi rebutan ibu bapanya yang sudah bercerai. Bapa Misbah berbangsa Pakistan, manakala ibunya pula dari Scotland. Misbah dibawa balik bapanya ke Pakistan, sementara ibunya berusaha mendapatkan semula hak penjagaan kanak-kanak itu. 

Isu itu jelas adalah isu keluarga yang boleh diselesaikan menerusi proses mahkamah sama ada di Britain atau Pakistan. Namun, ia kini menjadi pula isu pertembungan nilai antara Islam dan Barat, semata-mata kerana bapa Misbah memberi alasan bahawa beliau mahu membawa anak gadisnya pulang ke Pakistan kerana ‘masyarakat Britain membenarkan dan mungkin juga menggalakkan kebebasan seks’ dan beliau tidak mahu anak gadisnya itu membesar dalam keadaan seperti itu.

Kenyataan itu dianggap sebagai satu penindasan terhadap wanita, iaitu menidakkan gadis kecil itu kebebasan memilih cara hidupnya sendiri. 

Berikutan itu, komentar dan surat pembaca menyusul dalam akhbar atau dalam perbincangan online di Britain dengan rata-rata ‘pejuang nilai Barat’ mengecam pelbagai bentuk ‘penindasan’ yang mereka lihat dibawa oleh Islam. 

Hujah yang dibawa tidak kurang banyaknya juga membuat kesimpulan nilai yang dibawa Islam tidak sesuai dengan nilai yang dipegang Barat. Tidak cukup pada peringkat rakyat biasa, pemimpin di Barat pula ada melihat Islam tidak serasi dengan demokrasi.

Berikutan itu, pejuang demokrasi seperti Amerika Syarikat mahu mengeksport prinsip demokrasi dan nilai hak asasi manusianya ke negara Islam. Seolah-olah masyarakat Barat sekali lagi terpaksa melancarkan ‘renaissance’ agar masyarakat dunia tidak lagi kembali semula ke ‘Dark Ages’.

Apakah benar perlu ada ‘renaissance’ (pembaharuan) terhadap Islam? Bukankah Islam itu sendiri adalah ‘renaissance’, iaitu agama diturunkan untuk mengambil tempat zaman jahiliah.

Bagi menjawab soalan ini, mungkin satu hasil kajian seorang profesor terhadap asal usul prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Amerika Syarikat boleh dijadikan renungan. Menurut kajian itu (www.law.upenn.edu/conlaw/issues/vol1/num3/alhibri/node8_tf.html), Ada banyak persamaan antara prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Amerika Syarikat dengan Perlembagaan Madinah. 

Malah, banyak hak asasi dijamin dalam Perlembagaan Amerika sekarang, terkandung dalam Perlembagaan Madinah yang digubal kira-kira 1,000 tahun sebelumnya. Apakah mungkin penggubal Perlembagaan Amerika menceduk prinsip daripada Perlembagaan Madinah?.

Kajian berkenaan tidak menemui bukti sedemikian, namun yang dapat dipastikan pengasas AS yang bergelut dengan konsep ‘federlisme’ yang begitu asing ketika itu, terdedah kepada Perlembagaan Madinah sebagai rujukan. 

Pengkritik Islam pada masa ini begitu cepat menolak agama suci itu sebagai tidak serasi dengan nilai demokrasi. Namun, penilaian mereka terhadap Islam hanya berdasarkan apa yang mereka lihat di dunia Islam hari ini, iaitu dunia yang banyak dipengaruhi oleh tamadun Barat sendiri.

Jika benar-benar jujur, mereka akan teliti tamadun Islam sebenarnya dan akan akui siapa yang lebih dulu melindungi hak asasi, mahupun hak wanita.



Rencana
Berita Harian
Jumaat, 06 Oktober 2006

Sunday, April 19, 2009

Cool Menghadapi Hari Ini

01 March 2006 

Lalui hidup macam biasa. Usaha dan terus usaha. Jangan lupa tentang ketenangan dan kesabaran. Hidup kita ni kena melangkah setapak demi setapak.


Tenangkan hati kita dengan membahagikan saat-saat yang terkandung pada hari ini. Jadikan setiap jam itu umpama setahun. Bekerjalah dengan tabah. Bertaubatlah daripada dosa. Ingat kepada Tuhan. Tambahkan amalan. 

Hiduplah pada hari ini dengan kegembiraan dan ketenangan kerana kebahagiaan itu berada dalam diri sendiri. Bersyukurlah dengan apa yang diusahakan dengan bersungguh-sungguh supaya sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada.

Bandingkan manakah yang lebih baik bagi kita. Sama ada dengan memakan makanan hangat pada hari ini berbanding makanan semalam yang mula basi. Ataupun sia-sia menunggu makanan pada hari esok sedangkan ia masih belum tersedia dan tiada di hadapan mata.

Apabila kita percaya dan yakin kepada diri sendiri, lakukan yang terbaik untuk hari ini. Berpegang pada prinsip itu menghasilkan hari-hari yang seterusnya dengan lebih baik. Bekerja dengan bersungguh-sungguh setiap hari itu melatih dan mengajar kita supaya lebih mahir dengan kehidupan. 

Anggaplah kita hanya hidup pada hari ini sahaja, nescaya ia menjamin kehidupan akan datang. Malah, ia menjadi penenang jiwa yang selalu merisaukan masa depan yang belum kelihatan. 

Ada berpendapat orang yang berduka kerana memikir-kan perkara sekarang adalah orang yang rasa hidupnya melarat. Sering gagal. Tambahan pula dia hidup di kalangan orang-orang yang berjaya. Masanya dihabiskan dengan melayan kerenah cemburu dengan kejayaan orang lain dan berkecil hati dengan kegagalan diri. 

Orang sebegini perlu beringat bahawa hidup ini bukan hanya bernafas ataupun makan dan minum sahaja. Tetapi, kehidupan itu perlu dilalui dan dicari pengalaman supaya kita dapat memerhati rahsia serta gambaran teka-teki dunia. 

Para ahli Tasawuf selalu menziarahi tempat-tempat orang miskin yang melarat, rumah-rumah sakit, penjara dan sebagainya. Ia semata-mata bagi menimbulkan keinsafan bahawa kita tidak boleh berdukacita atas kesusahan dan tidak boleh terlalu bergembira dengan kemuliaan kerana dunia ini penuh rahsia.

Oleh itu, hari ini bukanlah hari untuk kita berkecil hati dengan kegagalan. Tetapi adalah hari untuk kita berusaha menentukan hari esok dan seterusnya. Bukankah hari-hari semalam itu sudah banyak mengajar kita dengan memandang pelbagai pengalaman baik dan buruk? 

Oleh itu, apa yang dilakukan pada hari ini perlu lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Kalau apa yang dilalui itu tidak diambil perhatian, sedarlah bahawa orang yang bersikap sedemikian itu tidak ubah seperti orang bebal kerana buta tuli dengan pengajaran serta pelajaran kehidupan di dunia.


Sumber : www.pts.com.my

Thursday, April 16, 2009

Perpektif IKIM: Salah Guna Ilmu Boleh Timbulkan Kemudaratan

Oleh Dr Mohd Sani Badron

BADAN yang sempurna menuntut jasmani yang sihat, kuat, cergas dan berdaya-tenaga. Kesempurnaan jiwa pula terletak pada akal yang bermaklumat, berpengetahuan dan berkefahaman, lagi berkebijaksanaan.
 

Sesungguhnya 'maklumat', 'pengetahuan', 'kefahaman' dan 'kebijaksanaan' masing-masing memiliki nilai yang amat berbeza. Dihalusi dalam neraca ilmiah, kebijaksanaan mempunyai nilai paling tinggi dalam ukuran keilmuan dan matlamat pendidikan sepanjang hayat. Mortimer Adler menghuraikan pada kebiasaannya maklumat boleh diperoleh sedikit demi sedikit secara yang terpisah di antara satu maklumat dengan maklumat yang lain. Jika maklumat sebagai bahan mentah ilmu ini tidak dimatang dan dicernakan oleh akal dan budi, ia akan tinggal sebagai ‘data’ yang tidak memancarkan sebarang makna yang lebih mendalam bagi pemilik maklumat.

Maklumat boleh digunakan sama ada untuk yang baik atau buruk. Pengetahuan pula lebih bernilai daripada maklumat semata-mata. Ini kerana pada peringkat ini himpunan maklumat yang berkenaan diuruskan secara teratur. Susunan maklumat dalam sorotan akal manusia seperti ini dinamakan pengetahuan. 

Ilmu pengetahuan pasti diresapi dengan pandangan hidup seseorang. Oleh kerana akal budi manusia meninjau dan menyorot ilmu pengetahuan dalam bingkai pandangan alam kebudayaan dan tamadunnya masing-masing, apa yang dianggap pengetahuan oleh sesuatu tamadun mungkin dinafikan kebenaran ilmiahnya oleh tamadun yang berlainan. 

Contohnya, pengetahuan mengenai diri manusia pasti berbeza dalam tamadun yang menganggap insan hanya semata-mata sebagai benda berbanding tamadun lain yang mentafsirkan insan sebagai makhluk yang memiliki roh luhur ciptaan Allah (surah al-Hijr, ayat 29). 

Justeru, dalam huraian inilah wujud pertembungan ilmiah dengan pandangan alam Barat. Pengetahuan juga mungkin digunakan oleh manusia untuk kebaikan atau keburukan. Salah guna ilmu paling buruk boleh berlaku apabila kebenaran asal diubah dan maklumat yang palsu direka dengan niat jahat untuk menggantikan apa yang betul dalam ilmu yang sebenar. Maklumat yang hak pula dilupakan atau sengaja disembunyikan serta diputarbelitkan. Lalu, bercampuraduk apa yang hak dengan batil dan tercemarlah kejernihan kebenaran dengan keruh kepalsuan. 

Lanjutan itu timbul keadaan serba kelam yang mengelirukan masyarakat awam yang jahil. Perbezaan di antara pengetahuan dan kefahaman pula adalah berkenaan kedalaman makna yang dibawa oleh sesuatu ilmu. Semua cabang ilmu mempunyai pengaruh dan kesannya tersendiri dalam hidup manusia. Setiap cabang ilmu dalam akal insan yang serba kompleks itu menjurus kepada akibat penting dalam kehidupan.

Justeru, yang digelar kefahaman itu adalah memahami makna, nilai, kepentingan, kesan dan pengaruh sesuatu pengetahuan dan ilmu itu dalam kehidupan, kemanusiaan seluruhnya dan alam sekitar. Seperti yang terakam dalam kamus agung Lisan al-'Arab karya Ibn Manzur (m.711H), kefahaman (al-fahm) itu adalah “kearifan mengenai sesuatu urusan dan perkara menerusi mata-hati”. 

Semakin sempurna makrifah seseorang individu, maka semakin bererti dan bermaknalah hidupnya. Untuk dianugerahkan dengan kefahaman, seseorang memerlukan sedikit sebanyak maklumat atau pengetahuan. Tetapi, sekadar bermaklumat atau berpengetahuan tidak semestinya benar berkefahaman mengenai makna arah dan tujuan hidup yang hakiki.

Kebijaksanaan pula adalah ilmu dalam pengertiannya tertinggi. Ia mensyaratkan maklumat, pengetahuan dan kefahaman yang diletakkan dalam neraca pertimbangan nilai yang adil. Akal manusia yang bijaksana mampu memandang persoalan pokok dalam kehidupan insaniah. 

Seseorang yang dikurniakan 'hikmah' mencapai pengertian dasar yang paling penting mengenai kaitan di antara persoalan kehidupan manusia di alam semesta dengan isu ketuhanan.

Penulis ialah Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia


Agama
Berita Harian
30 Mei 2006

Memahami Pengaruh Konsep Diri Keatas Jiwa


28 December 2004

Dalam bidang psikologi terdapat suatu teori yang boleh menolong kita memahami siapa diri kita. Teori itu disebut Jendela Johari. Nama Johari adalah gabungan nama dua orang pakar yang mencipta teori itu, Joseph Luft dan Harry Ingham.  
Jendela Johari: Siapakah Aku?

Dalam bidang psikologi terdapat suatu teori yang boleh menolong kita memahami siapa diri kita. Teori itu disebut Jendela Johari. Nama Johari adalah gabungan nama dua orang pakar yang mencipta teori itu, Joseph Luft dan Harry Ingham. Menurut mereka diri manusia itu terdiri daripada empat bentuk ‘diri’ di mana tiap diri itu berbeza daripada yang lain-lain. Walaupun berbeza, tiap-tiap diri itu saling pengaruh mempengaruhi satu sama lain.

Jendela Diri Yang Terbuka
Jendela ini melambangkan semua maklumat, sikap, perasaan, keinginan, dorongan dan idea-idea kita yang kita sendiri ketahui dan diketahui juga oleh orang-orang lain. Antara maklumat itu adalah nama kita, rupa paras kita, agama kita, bangsa, pendidikan, kegemaran, agama dan pendirian politik kita.

Ada kalanya jendela ini kita buka luas oleh itu kita dengan sukarela mendedahkan banyak maklumat tentang siapa diri kita.

Ada kalanya kita tidak mahu membuka jendela ini dengan luas, jadi kita banyak merahsiakan maklumat peribadi kita. Sejauh mana kita sanggup membuka jendela ini ada kesannya pada sejauh mana orang-orang lain sanggup menerima kita. Semakin banyak kita men-dedahkan maklumat diri kita, semakin mudah bagi orang lain menerima kehadiran diri kita.

Jendela Diri Yang Buta
Jendela ini melambangkan segala macam maklumat tentang diri kita yang diketahui oleh orang-orang lain tetapi kita sendiri tidak tahu. Antara maklumat diri kita yang kita tidak ketahui adalah perangai-perangai ganjil kita, bau badan kita yang busuk, sifat kita yang gagap apabila gugup dan lain-lain.

Orang lain mungkin tahu tabiat dan sifat kita yang baik ataupun buruk yang kita tidak sedari ada pada kita. Sesetengah orang sangat ‘buta’ tentang dirinya sendiri. Ada kalanya kita takut hendak mendengar pendapat orang lain berkenaan diri kita, kecuali yang baik-baik sahaja. Sesetengah orang sangat ingin tahu siapa diri mereka yang sebenar dan sentiasa mencari maklum balas daripada orang-orang di sekeliling mereka.

Ada kalanya kita dapat menerima kenyataan apabila menerima kritikan peribadi daripada orang-orang lain. Ada orang tidak dapat menerima kritikan seperti itu dan mereka mengalami kejutan dahsyat. Oleh itu, walaupun kita tahu banyak berkenaan orang-orang lain, kita tidak boleh mendedahkan kepada mereka segala apa yang kita tahu. Mereka mungkin akan mengalami kesan negatif daripada apa yang kita beritahu.

Jendela Diri Yang Tersembunyi
Jendela ini adalah lambang segala maklumat tentang diri kita yang kita sendiri tahu tapi kita tidak ingin orang lain tahu. Ia adalah diri kita yang kita rahsiakan. Ada orang yang suka memberitahu segala macam maklumat berkenaan diri mereka kepada orang lain. Ada orang, kalau boleh, langsung tidak mahu sesiapa pun tahu apa-apa berkenaan diri mereka. Mereka akan bercakap-cakap dan berbual-bual berkenaan bermacam-macam perkara di dunia ini, kecuali berkenaan diri mereka sendiri.

Ada orang yang tidak segan silu menceritakan segala hal berkenaan diri mereka termasuk masalah rumah tangga, anak-anak, pekerjaan, wang dan apa-apa saja. Lazimnya kita memilih-milih maklumat peribadi yang sanggup kita dedahkan kepada orang-orang lain, dan kita juga memilih-milih kepada siapa maklumat-maklumat itu sanggup kita dedahkan.

Jendela Diri Yang Tak Diketahui
Jendela ini adalah lambang siapa sebenarnya diri kita, tetapi kita tidak tahu dan orang-orang lain pun tidak tahu. Kalau kita tidak tahu dan orang-orang lain pun tidak tahu, bagaimanakah kita tahu bahawa diri kita itu wujud? Kita tahu ia wujud daripada beberapa sumber. Pertama, dari saat apabila kita akan menyedari beberapa perkara baru tentang diri kita yang tidak pernah kita katakan sebelumnya.

Sumber kedua adalah mimpi-mimpi yang kita alami. Sumber ketiga adalah melalui ujian-ujian projektif yang boleh kita ambil di bawah pengawasan pakar-pakar psikologi. Ada kalanya kesan dadah, hipnosis, ‘menurun,’ ‘dirasuk’ dan ‘histeria’ juga boleh menggambarkan wujudnya diri kita yang tersembunyi.

Anggapan kita terhadap diri kita sendiri sentiasa berubah-ubah daripada masa ke masa. Ada kalanya perubahan itu berlaku perlahan-lahan, ada kalanya ia berlaku dengan mendadak dan drastik sekali.


Cara Mengenali Diri Sendiri

Mengetahui siapa diri kita sebenarnya mempunyai kesan ke atas kejayaan di tempat kerja dan dalam kehidupan. Individu-individu yang memahami sifat-sifat, kekuatan dan kelemahan dirinya didapati lebih berjaya dalam kerjaya dan kehidupan mereka. Semakin betul kefahaman seseorang itu tentang dirinya, semakin tinggi kejayaan yang dapat dicapainya. Ini adalah salah satu daripada ciri-ciri psikologi yang membezakan para eksekutif yang berjaya naik menjadi para pengurus kanan daripada mereka yang tidak berjaya menjadi pengurus kanan.

Individu-individu yang gagal dalam kehidupannya mempunyai konsep diri yang negatif ataupun di mana konsep dirinya tidak selaras dengan realiti disebabkan mereka tidak bersikap terbuka kepada maklum balas daripada orang-orang yang berinteraksi dengan mereka, terutamanya apabila maklum balas itu dalam bentuk kritikan. Itulah sebabnya mereka yang tidak dapat menerima kritikan dan teguran tidak dapat mencapai peringkat tinggi dalam jawatannya.

Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan supaya kita lebih kenal diri kita sendiri. Cara yang pertama adalah dengan mendengar apa yang orang-orang lain kata berkenaan diri kita. Dengan cara ini kita dapat melihat diri kita daripada sudut pandangan orang lain.

Kita dapat melihat diri kita sebagaimana yang orang lain melihatnya, iaitu sebagaimana yang mereka nampak dan kenali diri kita. Biasanya kita mahu orang lain melihat diri kita seperti yang kita sendiri mahu lihat, iaitu yang positif sahaja.

Apa sahaja yang kita buat dan katakan sentiasa dinilai oleh orang lain. Ada kalanya mereka menyatakan pendapat mereka berkenaan diri kita. Kadang-kadang mereka mengatakan dengan jelas dan berterus terang, tetapi ada kalanya mereka menyatakannya dengan cara yang halus dan tersirat. Dengan memberi perhatian dan bersikap terbuka terhadap segala pendapat orang lain berkenaan diri dan segala perbuatan kita, kita dapat mengenal diri kita sendiri dengan lebih baik lagi.

Cara kedua adalah dengan sengaja mencari maklumat-maklumat tambahan berkenaan diri sendiri. Kita boleh meminta pendapat orang-orang di sekeliling kita berkenaan apa yang kita buat.
Kita boleh bertanya “Patutkah saya buat begitu?” ataupun “Apa pendapat awak tentang cara saya menyelesaikan masalah itu?” ataupun “Adakah saya layak melakukan tugas ini?”
Apabila orang memberi maklum balas kepada soalan-soalan seperti itu, kita jangan bersikap defensif. Dengar sahaja dan ambil perhatian. Apabila kita bersikap defensif, lain kali orang tidak mahu memberi maklum balas lagi.
Cara ketiga adalah dengan berlatih melihat diri sendiri sebagaimana yang orang lain nampak. Setiap ahli keluarga dan sahabat kita melihat diri kita secara berbeza-beza. Mereka semuanya betul. Diri kita adalah semua yang mereka nampak.
Cuba gambarkan bagaimana ibu bapa, adik beradik kita, rakan sejawat kita, pasangan kita, malah bagaimana musuh kita melihat diri kita. Kita akan dapat memahami diri kita dengan lebih jelas.

Cara keempat adalah dengan cara mendedahkan lebih banyak maklumat tentang diri kita yang selama ini kita rahsiakan. Cuba terangkan siapa diri kita sendiri dari sudut pandangan kita sendiri. Dengan berbuat begitu kita mungkin akan tercungkil maklumat-maklumat yang selama ini kita pendamkan, atau yang selama ini tidak kita sedari.

Kita dapat mengetahui siapa diri kita daripada pelbagai sumber. Ada kalanya, kita menyedari siapa diri kita secara spontan. Dalam saat spontan seperti itu tiba-tiba kita tahu sesuatu yang betul tentang diri kita. Tetapi kita tidak tahu dari mana datangnya pengetahuan itu. Namun lazimnya kita tahu dari mana punca itu.

Sejak kecil-kecil lagi kita sudah dilayan dengan cara-cara yang berbeza oleh ibu bapa kita, rakan-rakan dan guru-guru kita. Kita juga melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan fizikal dan sosial yang kemudian hari memberi pengaruh besar ke atas beberapa aspek diri kita.

Apabila sejak kecil kita sudah dibawa ke masjid, dihantar mengaji al-Quran, diberi memakai kopiah, diajar bersembahyang jemaah di rumah, diajar berpuasa, digalakkan menghafal Quran dan lain-lain seperti itu, apabila besar nanti kita yakin agama Islam adalah sebahagian daripada identiti yang penting. Sekiranya sejak kecil kita sudah dibawa menghadiri mesyuarat dan ceramah, apabila kita besar nanti kita akan melihat diri kita sebagai orang yang mementingkan hal ehwal kemasyarakatan.

Dipetik daripada: Bahagian 1, Kejayaan Dari Dalam

    
Sumber    :www.pts.com.my